Monday, August 31, 2009

:: Terima Kasih Malaysia

Malaysia, selamat hari kmerdekaan yang ke-52. Semoga Allah sentiasa memberi rahmat kepada mu dan moga aman selalu. Dan, aku juga berdoa’ sering agar Malaysia menjadi sebuah negara Islam yang selamat untuk kaum Muslimin bernaung kerana kulihat betapa akhlak meruntuh di kalangan orang-orang Islam kini.

Syukur Alhamdulillah kerana Allah meletakkan aku di negara Malaysia yang kurasa banyak sekali kebahagiaan dan kesenangan dlm hal kehidupan dan jugak hal ibadat. Di sini aku mampu menulis dengan baik, mampu menjadi orang berilmu yang bermartabat, mampu menjana impian malah terkadang aku sering melalaikan diri dengan angan-anganku. Makanan halal di merata-rata, apa lagi di bulan puasa. Kemaslahatan umat Islam dijaga dengan baik di sini, benar aku hidup senang sekali. Namun ini bukanlah suara penyesalan atau keterkilanan aku dilahirkan sebagai bangsa Campa yang merempat. Aku redha dengan hati terbuka takdirku begitu malah aku tidak pernah melupakan asal usulku biarpun hatiku sudah merasai cinta pada negara Malaysia.

Aku kini tinggal di Negeri Darul Ridzuan, negeri Pandak Lam. Sesuai dengan namanya aku memang seorang insan yang sentiasa rela dan redha (ceh poyos! Haha..). Di sini aku bebas berkata tentang Campa, tanpa halangan. Jika di Vietnam berdedai-dedai sesiapa yang bicara tentang Campa disumbatkan ke dalam penjara. Pada tahun 1987, abah menuntut ilmu Bahasa Cam di Panduranga, kembali ke An Giang abah cuba sebarkan ilmu lantaran rasa cinta yang menggunung. Abah tulis beberapa perkataan Cam di dinding rumah. Keesokannya mata gelap polis Vietnam dah jejak di beranda rumahku. Fuhh, nasib baik abah masih panjang umur maka aku dilahirkan tidak yatim tanpa bapa, Alhamdulillah. Kata abah, “kemerdekaan ialah kebebasan di bawah kerajaan bangsa itu sendiri”. Kata Ho Chi Minh, “Không có gì quý hơn độc lập, tự do !”…tak faham kan? Aku pun tak faham juga tapi aku dapat terjemahan dari Bahasa Inggeris begini bunyinya “Nothing is more precious than independence and liberty”. Dua hari aku cari di internet apa yang Ho Chi Minh bebelkan tu. Nak Tanya abah? Takut aku!!

Di Malaysia ni juga aku mendapat pendidikan sewajarnya, menjadikan aku seorang insan yang waras berfikiran, punya cita-cita dan agenda, aku terlepas daripada kalangan anak-anak bangsa Campa yang kufur dengan nikmat Allah dilahirkan di dalam bangsa dan bahasa nenek moyangku ini. Islamla sangat…kufur nikmat tak sedar… Ooops, ada yang terasa ke?! Nasibla.. Nak berkata tentang Islam, jom aku berbesar hati saja. Jangan risau, ini masih di dalam konteks kemerdekaan. Kita bicara tentang kedatangan Islam di Tanah Arab. Nabi kita Ahmad Muhammad SAW bin Abdullah dilahirkan di Negeri Makkah. Itu tapak permulaan Islam. Tetapi nabi tidak berjaya menjadikan itu kerajaan Islam yang pertama lalu penghijrahan ke Yathrib pun berlaku. Di situ Islam berkembang dengan amat pesat sekali lalu itulah tapak pemerintahan kerajaan Islam yang pertama – Madinah al-Munawwarah, yang disirami dengan cahaya lampu, juga nur Islam. Pada tahun 622 tu, orang Campa sibuk dok bina candi …errkk…sesungguhnya dosa lama tidak boleh diungkit! Ok, tak cakap macam ni dah lepas ni. Kemudian tercetus perang Makkah-Madinah ; Abu Sufyan vs Nabi Muhammad SAW. Sebelum Rasulullah SAW wafat, turun surah terakhir; an-Nasr yang bermaksud “Pertolongan”.

إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ

- When there comes the Help of Allah and the Opening.

Mari kita teliti peristiwa “Miftahul Makkah”… Apa yang aku difahamkan di sini, Rasulullah dilahirkan di Makkah tapi berpindah ke Madinah untuk menyusun strategi dakwah Islamiah, tetapi Madinah yang dengan senang hati menerima Islam itu tidak pula diturunkan surah yang menyebut tentang “kejayaan” sebaliknya di Makkah. Pasti ada penjelasan relevan di sini. Islam itu agama fitrah! Kejayaan Rasulullah itu adalah di tanah tumpah darahnya, itu erti kemerdekaan - kebebasan di bawah kerajaan bangsa itu sendiri. Fitrah Nabi Muhammad SAW dari kalangan kaum Quraiys di Makkah, tetap kembali lalu kejayaan itu ditempa di tanah kelahiran baginda. Aku menjadi hairan sangat, bagaimana Muslim Campa boleh meminggirkan soal bangsa hanya kerana mereka beragama Islam? Sedangkan penghulu kita Nabi Muhammad SAW pun ada ciri-ciri nasionalisme, malah itu yang ditunjukkan di dalam al-Quran.

Di sini aku punya standard kehidupan – nak makan makanan yang cukup dengan 7 kelas makanan, nak tengok TV program dokumentari, nak dengar muzik pilih genre yang perlahan dan sentimental, nak baca buku yang berilmiah atau novel-novel Inggeris, nak pakai baju ke bag ke kasut ke stoking ke tengok jenama, nak pakai PC beli yang monitor plasma optical mouse LED colourful fans Pentium 4 pun dah hampir tak nak dah, nak pakai sandal mana mahu hak selipar Jepun tu, nak pakai basikal yang Mountain Bike atau Leerun.. basikal tua malu nak berdiri di tepi apa lagi mengayuhnya…dan banyak lagilah yang tak terhitung kalau berkata tentang selera dan nafsu ni! Apa yang penting aku dapat semua ni melalui ihsan Malaysia terhadap aku. Bak kata pepatah Cam “makan buah jangan lupa kepada penyiram dan pembaja”. Kalau tak salah aku Mat Salleh pun ada peribahasa yang macam ni..

Aku tak mahu ke Kemboja, tak mahu ke Vietnam, tak mahu juga ke Amerika atau Perancis. Aku tak mahu ke mana-mana kerana di sini Darul Imanku, di sini Darul Naimku, Darul Makmurku, Darul Khususku, Darul Takzimku, semestinya juga Darul Ridzuanku. Aku betah di sini kerana ini rumah keduaku. Rumah lamaku telah musnah dek hentaman sang garuda durjana, ia dah roboh dan tanah tu juga dah dirampas. Aku hilang segalanya kecuali jati diri. Aku ingin kekalkan jati diri itu di sini – tanah Malaysia.

Kesimpulan: Marilah semua yang punya negara merdeka peliharalah negara berdaulatmu kerana itu adalah nikmat yang sangat-sangat tidak ternilai. Melalui kemerdekaan tanah tumpah darah itu, kita bebas melakukan apa yang kita mahu, kerajaan Islam kah atau sebaliknya. Jika kerajaan Islam, kita mampu uruskan segala kepentingan demi menjaga kesuciaan agama kita, semahu kita. Mahu bina sekolah bestari berapa buah setahun, atau mahu bina masjid sebesar mana smua di dalam tangan individu yang merdeka itu. Jika di Vietnam, orang-orang Islam yang tidak berpuasa, adakah jabatan agama untuk menyelesaikan hal itu? Ada kes zina jika dilapor pada polis Vietnam mereka malah lebih mentertawakan lagi. Kebebasan menegakkan agama itu tidak ada lantaran hak ketuanan dicabul di tanah itu. Oleh itu, hargailah nikmat kemerdekaan yang ada ini. Manusia lazimnya sering mengabaikan apa yang dimilikinya hinggalah satu saat mereka kehilangan nikmat itu baru mereka menyedari betapa ia merugikan. Dan bagi anak-anak bangsaku yang merempat merata, usah gundah gelisah juga kerana kemerdekaan kita yang paling utama ialah dalam mengenali erti jati diri kita sebagai bangsa yang merantau dah lebih 600 tahun dan membebaskan diri dari belenggu kebodohan tentang masa lampau salasilah keturunan ras manusia yang bernama BANGSA CAMPA. Renungkanlah…Allah al-Khaliq menciptakan kita semua satu ciri akal yang sama.

:: Lagu Jalur Gemilang ::

Merahmu bara semangat waja
Putihmu bersih budi pekerti
Kuning berdaulat payung negara
Biru perpaduan kami semua

Puncak dunia telah kau tawan
Lautan luas telah kau redah
Membawa semangat jiwa merdeka
Semarak jaya kami warganya

Empat belas melintang jalurnya
Semua negeri dalam Malaysia
Satu suara satu semangat
Itu sumpah warga berdaulat

Jalur gemilang... di bawah naunganmu
Jalur gemilang... kami semua bersatu
Perpaduan ketaatan
Amalan murni rakyat Malaysia
Jalur gemilang... megah kami terasa
Jalur gemilang... kibarkanlah wawasan
Merah putih biru kuning
Jalur semangat kami semua

Berkibarlah
Berkibarlah
Berkibarlah

Jalur gemilang

|Ndua Apakal Malaysia|

|Terima Kasih Malaysia|

|Syukran Malaysia|

|Thank You Malaysia|

No comments: